KUALA LUMPUR, 1 Ogos – PAS menegaskan kenyataan tular yang mendakwa Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilarang memasuki Arab Saudi kerana ideologi pengganas adalah tidak benar.
Terdahulu, tular di media sosial satu kenyataan mendakwa Abdul Hadi dilarang memasuki Arab Saudi kerana mempunyai ideologi pengganas.
Kenyataan itu didakwa dikeluarkan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi bertarikh 31 Julai 2023.
Menyelar dakwaan itu, PAS dalam kenyataan di Facebook berkata, penularan kenyataan palsu itu adalah bukti ada pihak sudah ketandusan idea untuk bersaing secara demokratik dan matang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Fakta ialah kenyataan rasmi Arab Saudi menggunakan tahun hijrah bukan masihi. Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS bukan lagi Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.
“Ayuh bersama PN (Perikatan Nasional), kita lenyapkan budaya politik yang rendah akal budi seperti ini dan kita bina negara yang bersih dan stabil,” katanya. – nasionalkini.my