in

Sengatan lebah kaedah alternatif rawat kanser

Antara kaedah rawatan sengatan lebah, pilihan lain kepada rawatan kanser

Oleh Adam Aariz

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Disahkan menghidap kanser payu dara dan paru-paru tahap 4 di usia 56 tahun bagaikan noktah dalam hidup wanita ini.

Berkelana sendirian di ibu kota Kuala Lumpur tanpa keluarga di sisi, Khalilah Yem menerima takdir itu dengan tabah walaupun jauh di sudut hatinya hampir berputus asa untuk mendapatkan rawatan pakar di hospital.

Ditemui Nasionalkini baru-baru ini, wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu berkata selepas disahkan menghidap kanser payu dara tahap kritikal itu, doktor menasihatinya supaya membuang bahagian yang dijangkiti bagi mengelakkan virus durjana itu merebak ke organ lain.

Reda dengan ketentuan Ilahi, Oktober 2016, Khalilah bersiap untuk menjalani rawatan kimoterapi namun beliau meminta proses itu ditangguhkan sementara selepas beberapa rakannya yang pernah menghidap kanser menjalani rawatan alternatif sengatan lebah memaklumkan kepadanya.

Wanita berusia 62 tahun itu dibawa ke sebuah pusat rawatan sengatan lebah di Bangsar, Kuala Lumpur dan memulakan proses rawatan yang mengambil masa hampir dua bulan.

Khalilah Yem

“Ketika disahkan ada kanser, hanya ajal yang bermain di fikiran saya.

“Saya memang sudah bersiap ke ‘sana’, memandangkan tahap kanser saya agak teruk,” katanya sambil menambah, payu daranya membengkak dan bernanah teruk ketika memulakan proses rawatan alternatif itu.

Bagaikan mimpi menjadi nyata, Khalilah berkata luka dan nanah teruk di bahagian payu daranya mulai mengering dan bisa di kawasan sekitar luka itu semakin menghilang.

“Ketika sakit, bergeser dengan baju pun saya nangis sebab sakit sangat.

“Bila naik kenderaan, langgar ‘bumper’ pun saya menjerit, sakit tu tak boleh nak cakap,” kongsinya yang berasal dari Johor.

Bagaimanapun, Khalilah berkata hasil nekad beliau untuk mencuba rawatan sengatan lebah itu berbaloi apabila kini disahkan sudah bebas kanser payu dara dan paru-paru tahap 4, malah kembali menikmati sisa hidup seperti insan lain.

Namun, menurutnya, beliau masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur setahun sekali, sebagai pesakit luar.

Pengasas Afnan Apitherapy Centre, Rosli Khalid berkata sengatan lebah memiliki penawar yang mampu membunuh kuman dalam salur darah, sekali gus mengelakkan ia merebak ke organ badan lain.

Pengasas Afnan Apitherapy Centre, Rosli Khalid

“Enzim terkandung dalam sengatan lebah, antaranya protein, peptide dan asid amino. Ia boleh menjadi penawar bukan sahaja dalam kalangan penyakit kronik tetapi banyak lagi penyakit lain.

“Suntikan lebah itu mengandungi 88 peratus air dan selebihnya, enzim, protein, peptide, amino asid dan sebagainya, yang mana semua itu adalah penawar kepada penyakit,” katanya.

Rosli berpengalaman lebih 15 tahun dalam rawatan Apitherapy, menggunakan lebah jenis Apis Mellifera berbanding jenis lain dalam perubatan.

Katanya, serangga jenis berkenaan lebih sesuai untuk merawat tubuh manusia.

“Kalau lebah tualang pula, dosnya lebih tinggi dan ia akan menyebabkan rasa sakit kepada pesakit berbanding lebah jenis Apis Mellifera, sebab itu kajian di seluruh dunia menggunakan Apis Mellifera dalam kaedah Apitherapy,” jelasnya yang menyatakan rawatan alternatif ini lebih tertumpu kepada sistem imunisasi badan. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Pemandu lori mengaku tak bersalah punca kemalangan maut

Eksekutif akaun wanita didakwa seleweng lebih RM600,000