KUANTAN, 26 Julai – Tiada keperluan mana-mana pihak membandingkan pembangunan antara Kelantan dengan Pahang, kata Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Dia mengakui rasa terkilan apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengeluarkan kenyataan menyamakan kemajuan pembangunan antara kedua negeri itu.
Mohd Amar sepatutnya lebih fokus menyampaikan manifesto PAS Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, terutama cara untuk naik taraf Kelantan ke ‘Liga Super’ dalam pembangunan.
“Lebih dahsyat lagi, beliau (Mohd Amar) turut mengheret Pahang kononnya turut berada sama di kancah Liga Bawahan itu juga.
“Tindakan ‘menepuk air di dulang’ ini amatlah dikesali kerana secara langsung mendedahkan kelemahan pentadbiran sendiri,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook malam tadi.
Dia yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang kemudiannya turut berkongsi lima perkara dicapai kerajaan Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Fadzli berkata, antaranya adalah peningkatan kutipan hasil pendapatan negeri yang konsisten tahun demi tahun dan melepasi RM1 billion tahun lalu.
“Pengurangan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat juga signifikan, daripada RM3.31 bilion (sebelum tahun 2018) kepada RM952.21 juta setakat tahun 2022.
“Kejayaan penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat berjumlah RM77.95 juta pada tahun sama.
“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bulan lalu menyenaraikan Pahang di kedudukan negeri ketiga terbaik di Malaysia atas kejayaan merekodkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 10.8 peratus, iaitu selepas Pulau Pinang (13.1 peratus) dan Selangor (11.9 peratus),” katanya.
Fadzli mengakui tidak dapat membaca niat sebenar Mohd Amar yang dilihat cuba merendahkan kemajuan dicapai Negeri Pahang.
“Saya berharap agar permainan politik persepsi seperti ini dihentikan. Jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan lantai jongkang-jongket.
“Setiap negeri ada keunikan masing-masing.
“Demografi berbeza, geografi juga berbeza. Menarilah mengikut rentak masing-masing.
“Di Pahang, kami menari ikut rentak Joget Pahang dan paling utama kedudukan kita tidak sama.
“Fokuslah di Kelantan, jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.
Isnin lalu, Mohd Amar dalam satu laporan akhbar mengakui pembangunan Kelantan ketinggalan berbanding Kuala Lumpur (KL), Selangor dan Pulau Pinang.
Dia dilaporkan berkata, jika hendak banding pembangunan, ia perlu dibandingkan dengan negeri lain contohnya, Pahang dan Negeri Sembilan.- nasionalkini.my