KUALA LUMPUR, 24 Mei – Jumlah wang tidak dituntut (WTD) di negara ini mencecah RM11.2 bilion sehingga 30 April lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebahagian besar WTD yang diuruskan Jabatan Akauntan Negara itu adalah wang dalam akaun bank yang tidak aktif melebihi tujuh tahun atau lebih, merangkumi 70 peratus.
Beliau berkata, dua lagi kategori WTD adalah wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus dan dividen dalam tempoh setahun atau lebih serta wang lebihan dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat dalam tempoh dua tahun atau lebih.
“Sehingga semalam, kita sudah kembalikan sebanyak RM3.3 bilion kepada rakyat yang membuat tuntutan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini, lapor BH.
Beliau menjawab soalan asal Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai jumlah WTD setakat 31 Mac 2023.
Mengenai langkah diambil kerajaan untuk memanfaatkan WTD bagi pembangunan negara, Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM10 bilion dimasukkan ke dalam simpanan tetap dan RM250 juta daripada wang berkenaan digunakan setiap tahun untuk pembangunan serta bantuan kepada rakyat.
Menjawab soalan tambahan Kui Lun, sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan dana biasiswa pendidikan menggunakan WTD bagi membantu pelajar tidak berkemampuan, Ahmad Maslan berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan.
“Bagaimanapun, setakat ini, kita berikan wang itu untuk hal secara umum bagi mengembalikannya kepada rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad turut mendedahkan, seramai 12 individu cuba menuntut WTD miliknya, berikutan nombor kad pengenalannya diketahui ramai orang.
“Jangan buat begitu ya. Siapa mahu tuntut, tidak perlu melantik ejen dan membuat sebarang pembayaran pun.
“Mereka boleh ke portal eGUMIS, Jabatan Akauntan Negara dan boleh tuntut dalam masa 14 hingga 30 hari. Apabila dokumen lengkap diberikan, maka boleh dapat wang itu kembali,” katanya. – nasionalkini.my