in

Langkah drastik tangani isu ekonomi, kejatuhan nilai ringgit diumum esok

Ahmad (tiga dari kiri) meluang masa berswafoto bersama kakitangan BSN selepas melawat Wisma BSN Johor, di Johor Bahru, hari ini

Oleh Luth Adwa

JOHOR BAHRU, 18 Jun – Isu ekonomi termasuk kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun enggan berkongsi tentang dasar dan langkah drastik yang akan diumumkan itu.

“Biarlah perkara dasar seperti itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri umumkan.

“Pada pukul 12 tengah hari esok, Perdana Menteri akan melawat Suruhanjaya Sekuriti, dijangka beliau akan umumkan tentang isu berkaitan ekonomi,” kata ahli parlimen Pontian itu.

Beliau berkata demikian selepas melawat Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) Johor, di sini hari ini.

Ahmad sebelum itu diminta mengulas langkah diambil kerajaaan untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham negara.

Ketika ini, nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat ialah RM4.6 bagi AS$1.

Ahmad dalam pada itu memaklumkan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mulai dibayar kepada 8.4 juta penerima, melibatkan peruntukan RM2.14 bilion sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, 29 Jun ini.

Sumbangan e-Tunai  RM200 kepada golongan belia berumur 18 hingga 21 tahun juga akan diberikan pada minggu ketiga Jun ini.

Rayuan STR pula boleh dibuat di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau secara dalam talian mulai 1 Julai ini. – nasionalkini.my

Nilai ringgit dijangka kekal bertahan

Transisi Ramli Sarip terlalu istimewa