KUALA LUMPUR, 24 Mei – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad antara 12 dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen penggal ke-15 yang baharu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelantikan beliau adalah suatu sejarah memandangkan Noraini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi PAC dari April 2019 hingga Mac 2020.
“Saya menyambut baik dan mengalu-alukan pelantikan Ahli-ahli PAC Parlimen penggal ke 15 yang baharu selepas dipilih Jawatankuasa Pemilih semalam.
“Semua 12 ahli yang dipilih mempunyai pelbagai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan jurutera serta ada ahli yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang pengurusan, media dan kewangan,” ujarnya.
Antara yang turut dilantik termasuklah Ahli Parlimen Bayan Baru dan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Saratok yang juga mantan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.
Menurut Datuk Mas Ermiyanti, pengalaman ahli PAC yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan sudah pasti menjadikan PAC lebih berwibawa serta dihormati dalam memastikan setiap laporan dibentangkan mempunyai impak.
“Ia membuktikan bahawa kedudukan dan kredibiliti PAC sentiasa dipandang tinggi di kalangan Ahli Parlimen.
“Pada masa sama, peranan PAC sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan terutama sekali membabitkan dasar kewangan, perolehan serta tadbir urus kerajaan akan menjadi lebih kritikal.
“Saya percaya semua ahli PAC yang baru dilantik akan memberikan kerjasama kepada saya dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi selaku Naib Pengerusi dalam memastikan PAC dapat memainkan peranannya dengan lebih efektif kepada kerajaan,” ujarnya. – nasionalkini.my