KUALA LUMPUR, 19 Jun – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang telah tamat perkhidmatan.
Usul pencalonan Wan Junaidi dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Terdahulu, Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, bersama dua yang lain iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, turut dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara selepas mendapat 43 undi dalam pengundian lantikan jawatan itu.
Turut dicalonkan jawatan itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris yang dicadangkan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau namun tewas selepas mendapat hanya 11 undi. – nasionalkini.my