Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 24 Mei – Seorang penyelia syarikat konsesi pembersihan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, di hari ini, atas enam pertuduhan berasingan menipu pembelian lot tanah tidak wujud membabitkan kerugian hampir RM100,000 sejak Mei tahun lalu.
Tertuduh, S Sevasangar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Berdasarkan keenam-enam pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya enam lelaki berusia 35 hingga 53 tahun berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud sehingga mendorong semua mangsa membayar kepadanya secara berperingkat berjumlah RM2,051 hingga RM33,120.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh berasingan antara Mei 2022 hingga 30 Mac lalu, di Taman Pengkalan Indah dan di sebuah kedai dua ringgit di Pengkalan, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sekurang-kurangnya setahun sehingga 10 tahun dan sebat.
Difahamkan kesemua mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM98,151 apabila mereka ditawarkan lot tanah dengan harga murah tetapi mampu menjualnya pada harga lebih tinggi untuk mendapat untung lumayan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan tertuduh diikat jamin RM57,000 bagi semua pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan ringan dengan alasan mengidap sakit jantung dan merupakan penanggung tunggal isteri yang tidak bekerja serta tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Majistret Nurul Bahiyah membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi semua pertuduhan.
Kes disebut semula 23 Jun ini. – nasionalkini.my