KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan video tular berhubung lokasi kediaman uzur yang bakal menjadi penempatan sementara Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk penugasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Sabtu ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, berlaku salah faham membabitkan anggota PSP dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Sebenarnya pasukan dari Terup 1 C, PSP itu akan ditempatkan di sebuah berek baru di Balai Polis Pelabuhan Klang.
“Seorang pegawai polis dari Balai Polis berkenaan pula terkhilaf menunjukkan bangunan usang itu sedangkan lokasi sebenar adalah di berek baru,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 14 saat yang mendakwa pasukan bantuan ditempatkan di kawasan berek yang kelihatan usang dan tidak terurus tanpa mempunyai kelengkapan bagi persediaan PRN.
Mengulas lanjut, Razarudin menegaskan sewajarnya pegawai yang menularkan video berkenaan menerusi aplikasi TikTok seharusnya mendapatkan pengesahan dari pegawai atasannya terlebih dahulu dan bukannya mengadu menerusi media sosial.
“Bagi saya perkara ini adalah satu kekhilafan dan saya anggap ianya sudah selesai,” jelasnya.
“Saya sendiri telah turun padang ke lokasi penempatan yang sepatutnya menempatkan pasukan bantuan PSP sebaik sahaja video berkenaan tular. -nasionalkini.my