KUALA LUMPUR, 5 Julai – PAS Terengganu akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dataran Jambatan Angkat, Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, manifesto tersebut menggariskan 10 tawaran yang merangkumi semua aspek untuk masa depan negeri itu.
“Kita akan melengkapkan pengumuman 10 tawaran PAS Terengganu pada 8 Julai 2023 (Sabtu) bersempena program Jelajah Mega PN Best, Himpunan Teguh Pertahan Terengganu di Dataran Jambatan Angkat.
“Saya dengan penuh sukacitanya menjemput semua rakyat Terengganu untuk turut bersama dalam program ini,”katanya dalam kenyataan,hari ini.
Beliau turut menyeru kepada semua rakyat yang mengundi mengambil peluang menunaikan tanggungjawab.
“Ruang yang diberikan dalam sistem demokrasi ini perlu dimanfaatkan demi masa depan yang lebih baik.
“Manakala, kepada semua perantau yang bakal pulang mengundi nanti, suka untuk saya sarankan agar membuat perancangan yang awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat sampai di destinasi masing-masing,” jelasnya.
Awal pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian bagi PRN serentak di enam negeri pada 12 ogos depan.
Manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – nasionalkini.my