BUTTERWORTH, 17 Jun – Qari orang kurang upaya (OKU) penglihatan dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M malam tadi.
Kejayaan itu menjadikan anak sulung daripada enam beradik itu muncul sebagai qari pertama dalam kalangan OKU bergelar juara sepanjang sejarah pertandingan sejak 1947.
Johan bagi kategori qariah pula dimenangi Penolong Pegawai Islam Yayasan Islam Terengganu, Nor Hidayah Abd Rahman.
Dengan kemenangan itu, mereka layak membawa pulang masing-masing hadiah wang tunai RM20,000, selain piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.
Muhammad Qayyim, 25 dan Mor Hidayah, 32, turut melayakkan diri mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 20 hingga 26 Ogos nanti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.
Naib johan pula dimenangi Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Johan Menunggu) dan qariah dari Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar, manakala tempat ketiga dimenangi qari dari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini dan qariah dari Johor, Nurul Nadiah Hashim.
Terdahulu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) yang turut menyaksikan Negeri Sembilan muncul juara keseluruhan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
MTHQK berlangsung enam hari di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (PICCA), Arena Butterworth, di sini, dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun lalu dengan penyertaan 108 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri. – nasionalkini.my