in

Perlembagaan Persekutuan tak ditulis dalam bahasa Melayu

haniff 1 1
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tidak tegas dalam kalangan pemerintah dipercayai menjadi punca teks Perlembagaan Persekutuan tidak ditulis di dalam bahasa Melayu.

Iskandar Zulkarnain

KUALA LUMPUR 3 Jun – Ketiadaan ketegasan politik dalam kalangan pemerintah dipercayai menjadi punca teks Perlembagaan Persekutuan tidak ditulis di dalam bahasa Melayu.

Perkara tersebut begitu memalukan kerana ia terjadi kepada sebuah negara yang sudah merdeka hampir 66 tahun, kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan merupakan perundangan tertinggi negara melebihi akta Parlimen mahu pun arahan-arahan kerajaan atau kementerian.

“Kalau tanya pihak pejabat Peguam Negara, mereka akan jawab tidak ada yang sah. Tak malu ke?

“Sepatutnya perkara ini tak perlu kita bincang, sepatutnya perkara ini sudah berlaku jauh sebelum ini iaitu bagi saya tahun yang sepatutnya perkara ini diusahakan, ditekan oleh rakyat adalah tahun 1967,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diundang sebagai tetamu di Randau ke-17 Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM), hari ini.

Randau kali ini turut menjemput pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Mohamed Haniff Khatri menambah, isu Perlembagaan Persekutuan tidak ditulis dalam bahasa Melayu kini dalam perhatian beliau dan rakan-rakan untuk mempertikaikannya di mahkamah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kekalahan dalam kes sekolah vernakular seharusnya tidak melunturkan semangat semua pihak untuk terus berjuang.

Beliau menjadikan isu kalimah Allah pada tahun 2019 sebagai contoh di mana pada awalnya mereka kalah sebelum menang di peringkat Mahkamah Rayuan.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Isu sekolah vernakular mahu diselesaikan sekali gus noktahkan isu ini menang atau kalah,” katanya lagi.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina serta Tamil bukanlah bagi tujuan rasmi, oleh itu tidak bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara dengan kira-kira setengah juta pelajar daripada komposisi kaum yang berbeza secara keseluruhan. – nasionalkini.my

tun M 1

PDRM selesai siasat Tun M berhubung isu hina institusi raja

WhatsApp Image 2023 06 03 at 10.11.49 PM 1

Terpaksa guna tangga pindah pesakit kerana lif rosak luar jangka – Hee Sem