KUALA LUMPUR, 13 Julai – Selebriti dakwah Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak mendapat sokongan daripada beberapa peguam yang menawarkan khidmat nasihat perundangan secara percuma berhubung saman fitnah yang difailkan penyanyi dangdut, baby Shima.
Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan (PBPIK), Nik Saiful Adli Burhan berkata, nasihat dan khidmat guaman itu disediakan melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli.
Katanya, ramai lagi peguam yang akan membantu dalam khidmat guman terhadap PU Syed dalam menegakkan kebenaran dalam hal berkenaan.
“Mungkin di luar sana ramai yang takut nak menegur ke arah kebaikan jika perbuatan dakwah menjadi suatu pelanggaran undang-undang sama ada di bawah undang-undang sivil atau tort.
…dan saya akan pastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Nik Saiful berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan semua peguam yang sudi menawarkan bantuan berkenaan jika diperlukan dan bersedia membantu individu yang ditekan oleh undang-undang dalam menjalankan kerja dakwah.
Sehingga kini Nik Saiful menjelaskan terdapat dua lagi peguam berpengalaman dalam mengendalikan kes fitnah menawarkan perkhidmatan sama secara percuma kepada pendakwah berkenaan.
Tawaran berkenaan muncul selepas penyanyi dangdut, Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli menfailkan saman terhadap PU Syed dan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Abd. Rahman Mat Noor berhubung kata-kata fitnah.
Writ saman dan pernyataan tuntutan dikemukakan Shima menerusi peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan.
Tuntutan saman itu dipercayai dibuat selepas Syed didakwa memfitnah dan menuduhnya tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sesuatu konsert.
Manakala Abd. Rahman pula pernah mendakwa penyanyi terbabit menjual agama kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.
Ini susulan pengumuman namanya sebagai artis undangan program Hari Bandaraya Mesra Komuniti di Kuantan, Pahang yang kebetulan berlangsung pada sambutan Israk dan Mikraj.