Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 3 Jun – Proses pemindahan pesakit melalui tangga di Blok F Hospital Melaka sehingga videonya tular hari ini perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit yang kritikal.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pemindahan itu juga dilakukan dengan pemantauan rapi sehingga pesakit berkenaan selamat dipindahkan tanpa sebarang komplikasi dari aras empat ke aras tiga blok itu.
Menurutnya, tindakan itu terpaksa dilakukan selepas berlaku kerosakan luar jangka lif di Blok F yang sedang dalam proses naik taraf.
“Hospital Melaka ketika ini sedang dalam tempoh projek naiktaraf lif di beberapa blok hospital dan sepanjang tempoh itu bilangan lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baru.
“Semalam, berlaku kerosakan luar jangka lif di Blok F namun sehingga pukul 2 petang, dua unit lif yang rosak telah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata projek menaik taraf lif terbahagi kepada dua fasa, iaitu fasa pertama dari Oktober 2022 sehingga Julai 2023, manakala fasa kedua dari Julai 2023 sehingga Disember 2023.
“Kerosakan luar jangka lif di Blok F Hospital Melaka yang berlaku semalam menyebabkan akses terhad ke beberapa wad sehinggakan proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal.
“Pemindahan pesakit ini dilakukan dengan pemantauan rapi daripada pihak perawat dan pengurusan wad dan pesakit itu selamat tanpa sebarang komplikasi,” katanya.
Tambahnya, Hospital Melaka sentiasa memastikan keselamatan serta kebajikan pesakit serta kakitangan diutamakan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan pesakit.
Sementara itu, tinjauan nasionalkini melalui ruangan komen pada video yang tular itu mendapati, masyarakat mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatasi masalah itu yang didakwa sudah berlarutan sejak sekian lama. – nasionalkini.my