Oleh Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR 16 Mei – Menteri dalam kalangan UMNO akan membangkitkan isu kalimah Allah di mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan, esok.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu ini hendaklah dikendalikan dengan cermat kerana ia melibatkan sensitiviti, kebebasan beragama dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum.
Dalam hal ini, katanya, penelitian lebih mendalam diperlukan untuk menanganinya secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.
“Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai, termasuk pendekatan perundangan yang kukuh yang merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan selain pendekatan bukan perundangan.
“Menteri-menteri UMNO akan membangkitkan perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada esok hari.
“UMNO akan kekal terus berjuang menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya, hari ini.
Semalam, pelbagai pihak menuntut penjelasan kerajaan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dibuat pada 10 Mac 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.
Notis tersebut menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan tidak berniat meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021. -nasionalkini.my