Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 16 Mei – Kementerian Ekonomi menjangkakan sekurang-kurangnya 50 peratus isu berkaitan bekalan air di seluruh negara diselesaikan menjelang tahun 2030.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, penambahbaikan perkhidmatan air negara antara tumpuan utama yang akan diberikan dalam tempoh dua tahun terakhir dalam Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12).
Menurutnya, dianggarkan ia mengambil masa lebih enam tahun untuk diselesaikan hingga menyebabkan bakal berlanjutan hingga menjadi tumpuan dalam Racangan Malaysia ke 13 (RMK13).
“Tumpuan akan diberikan bermula dua tahun terakhir RMK12 namun ia akan berlanjutan sehingga RMK13.
“Dalam pada itu saya membayangkan ianya menjadi fokus utama dalam bagi tahun 2024 ke atas sehingga tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata kepada media dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 Bersama Kerajaan Negeri Pahang, di Swiss-Belhotel, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rafizi berkata, pihaknya (Kementerian Ekonomi) akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi syarikat operator air yang dimiliki kerajaan negeri secara bersepadu dan menyeluruh.
“Minggu lepas kami sudah berjumpa dengan ketua semua syarikat di seluruh negara untuk mendengar sendiri dan melihat sendiri kemampanan kewangan kerana ada isu tertentu yang terpaksa dihadapi mereka untuk memastikan soal ganti paip dan sebagainya.
“Kementerian mengambil pendirian untuk tidak hanya menumpukan kepada masalah air di negeri Kelantan dan Sabah, malah perancangan itu mengambil kira seluruh negara.
“Ini bukan soal infrastruktur sahaja malah juga meliputi soal kemampanan kedudukan kewangan syarikat air oleh kerajan negeri yang perlu dipastikan berada dalam keadaan stabil justeru isu ini mengambil sedikit masa. Bagi kami masa untuk selesaikan isu ini,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, modul yang boleh diambil kira bersesuaian akan dibentangkan dengan kemampuan kewangan di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun negeri dalam menyelesaikan masalah ini.
Jelasnya, negara sedang bergerak ke hadapan sekali gus berhasrat melihat perkhidmatan air seluruh negara terus ditambah baik di masa akan datang.
“Pelaburan untuk penambahbaikan perkhidmatan air itu menelan belanja yang besar.
“Dengan itu, sudah tentulah akan memerlukan peruntukan yang lebih dan itulah juga yang akan menjadi tugas saya dan kementerian supaya ada peruntukan untuk menambahbaik perkhidmatan air ini,” katanya. – nasionalkini.my