PUTRAJAYA, 27 Jun – Kementerian Luar menjelaskan maklumat terperinci mengenai permohonan undi pos bagi pilihan raya negeri (PRN) Kategori 1B (Luar Negara) sudah dihebahkan di portal rasmi kementeriannya sejak 16 Jun lalu.
Malah, maklumat sama seperti yang tertera di laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dimuat naik di semua platform media sosial rasmi Kementerian Luar iaitu menerusi Facebook, Instagram dan Twitter.
“Kementerian ini seterusnya ingin memaklumkan bahawa maklumat terbabit juga dimuat naik di portal rasmi hampir kesemua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia serta platform media sosial rasmi masing-masing mulai tarikh yang sama.
“Bagaimanapun sebilangan kecil Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia berdepan masalah teknikal bagi pengemaskinian portal rasmi mereka,” katanya menerusi kenyataan, lapor BH.
Menurut kenyataan itu lagi, pejabat perwakilan berkenaan sudah dan sedang mengambil tindakan mengatasi masalah teknikal berkenaan.
Justeru, Kementerian Luar akan terus memastikan maklumat jelas, sahih dan terkini disediakan SPR dapat disalurkan bagi makluman pengundi dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Ia termasuk dalam konteks kerjasama perkongsian maklumat antara Kementerian Luar dan SPR demi manfaat pengundi serta rakyat Malaysia yang berada di luar negara. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN