in

Buka segera permohonan undi pos

Pembukaan permohonan undi pos lebih awal akan memberikan lebih banyak masa kepada pengundi dan lebih ramai yang layak dapat memohon sebagai pengundi dalam PRN nanti - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka segera permohonan untuk menjadi pengundi pos bagi enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Jawatankuasa Pemandu BERSIH, berkata SPR tidak semestinya menunggu sehingga semua negeri terbabit membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebelum membuka permohonan pengundi pos.

Katanya, ini kerana permohonan pengundi pos itu termasuk pengundi kategori 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara seperti pelajar dan mereka yang bekerja serta menetap di luar negara yang perlu memohon menjadi pengundi pos dalam PRN nanti.

“SPR perlu mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, jumlah pengundi pos kategori 1B meningkat 600 peratus daripada 7,979 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada 48,109 pada PRU15.

“Pembukaan permohonan undi pos lebih awal akan memberikan lebih banyak masa kepada pengundi dan lebih ramai yang layak dapat memohon sebagai pengundi dalam PRN nanti.

“SPR perlu sentiasa ingat bahawa sudah menjadi tanggungjawab Perlembagaan untuk memastikan setiap rakyat yang layak mengundi diberikan akses pengundian yang mencukupi bagi mereka melaksanakan tanggungjawab dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Jawatankuasa Pemandu BERSIH turut mencadangkan supaya pengundi pos kategori 1C iaitu agensi atau organisasi yang dibenarkan SPR diperluaskan juga kepada petugas kesihatan dan keselamatan yang bekerja di sektor swasta seperti hospital swasta yang bertugas pada hari pengundian.

Katanya, kejadian seperti petugas pilihan raya seperti kerani pengundian dan ketua tempat mengundi tidak menjadi pengundi pos juga tidak seharusnya berulang kembali, lapor BH.

“Pada PRU15, pasukan Pemantau BERSIH menerima banyak aduan kerani dan ketua tempat mengundi tidak didaftarkan menjadi pengundi pos walaupun mereka memohon dan akhirnya mereka dinafikan hak untuk mengundi pada pilihan raya kerana terpaksa bertugas,” katanya. – nasionalkini.my

sekali 2

‘Sekali Saja’ mesej mendalam dari ZAKH

lemas 2

2 kanak-kanak maut dipercayai lemas