KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Tindakan menayangkan kertas undi kepada umum adalah satu kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengikut Perkara (39) dan boleh dihukum penjara atau denda sehingga RM3,000.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana di pusat pengundian ada dipamerkan mengenai syarat perlu dipatuhi setiap pengundi.
“Kalau tengok dekat tempat mengundi memang sudah ada sebut supaya kertas undi tu kena lipat betul-betul malah pegawai di dalam bilik berkenaan pun tidak boleh kita tunjuk kertas berkenaan.
“Kecuali kita adalah pegawai yang ditugaskan untuk membantu seseorang individu untuk mengundi, namun ia juga ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi.
“Malah dalam ahli keluarga, pasangan suami isteri pun tidak boleh diberitahu kita undi siapa.
“Namun apa yang berlaku ini bukan sahaja pada orang sekeliling, tetapi dia tayangkan pula pada jurukamera.
“Tak pastilah kalau ada permintaan daripada pihak media (untuk tayangkan kertas undi), tapi kenapa dia lurus bendul sangat (mengikut kehendak media),” katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menayang kertas undi kepada petugas media.
Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial, yang berkongsi gambar Sanusi mempamerkan pilihannya pada kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media. – nasionalkini.my