in

SPR Pahang terima notis kerusi DUN Pelangai kosong

KUANTAN, 21 Ogos – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, notis pemakluman secara rasmi diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menurutnya, ini adalah prosedur yang harus laksanakan oleh SPR apabila terdapat kekosongan kerusi DUN disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan seperti kemalangan jiwa atau berkaitan peraturan undang-undang dan sebagainya.

“PRK terpaksa diadakan, jadi sebagai speaker dan timbalan saya (Timbalan Yang Dipertua DUN, Lee Chin Chen) kita telah menyerahkan surat bagi memaklumkan kepada SPR tentang notis kekosongan kerusi DUN Pelangai.

“Penyerahan notis ini untuk tindakan selanjutnya oleh pihak SPR,” katanya dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.30 pagi tadi.

Sementara itu, Zamree memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara terbabit pada minggu ini.

Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.

Beliau yang bersaing dalam pertandingan empat penjuru memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon dari Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang.- nasionalkini.my

Piala Dunia Wanita milik Sepanyol

Singapura bantu siasatan nahas Elmina