KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mendapati 99,335 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdepan masalah kewangan berdasarkan kaji selidik dijalankan bulan lalu.
Timbalan Presidennya, Mohammad Farhan Jailani, berkata kaji selidik itu mendapati kira-kira 12.6 peratus atau 12,513 pencarum memiliki baki kurang RM10,000 di Akaun 1 dan 40.5 peratus atau 40,267 pencarum mempunyai baki antara RM10,000 hingga RM50,000 dalam akaun berkenaan.
Beliau berkata, bagi Akaun 2 pula, sebanyak 61.6 peratus atau 61,207 pencarum mempunyai baki RM3,000 ke bawah dan 18.8 peratus atau 18,716 pencarum mempunyai baki antara RM3,000 hingga RM10,000.
“Penyelesaian diberikan kerajaan dengan menawarkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) terbukti tidak menyelesaikan masalah secara total, malah menambah beban kewangan sedia ada.
“Oleh itu, PGIRM menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, segera meluluskan pengeluaran KWSP secara bersasar kepada pencarum yang masih tercicir dan terdesak dalam meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini, lapor BH.
Semalam, Dewan Rakyat bermula kecoh dengan isu ‘flip-flop’ atau keputusan bertukar-tukar membabitkan Kerajaan Perpaduan, dengan Perdana Menteri menegaskan beliau tidak kisah sama sekali bertindak sedemikian demi kepentingan beban rakyat.
Perkara itu dibangkitkan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) merujuk beberapa keputusan dibuat Kerajaan Perpaduan, antaranya isu pemberian subsidi ayam dan telur dan ketetapan berhubung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Perdana Menteri ketika menjawab perkara itu, menegaskan pendirian kerajaan dalam isu berkenaan bukanlah bersifat ‘flip-flop’ sebaliknya ia dasar baharu di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Kalau pun flip-flop untuk bantu rakyat, saya akan flip-flop. Buat apa tak mahu flip-flop tetapi bebankan rakyat,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Mohammad Farhan berkata, kini sudah lebih setahun pandemik berlalu dan kerajaan sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan mengatakan keadaan ekonomi pulih dan rakyat sudah bangkit.
“Tetapi adakah kerajaan sedar ada rakyat khasnya pencarum masih tercicir dan belum berjaya bangkit akibat kejatuhan kesan pandemik.
“Golongan ini masih gagal bangkit kerana masalah hutang tertunggak akibat hilang pendapatan, masih tidak berjaya mendapat pekerjaan stabil atas faktor usia dan kesihatan serta berdepan masalah sosioekonomi dan keluarga yang meruncing,” katanya.-nasionalkini.my