Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 4 Julai – Kenaikan dua peratus pencen tahunan pesara kerajaan perlu dikekalkan sehingga pelaksanaan pelarasan gaji baharu bagi penjawat awam dilakukan.
Pengerusi Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (Kupemas), Datuk Omar Osman berkata, pelarasan gaji tersebut juga perlu memastikan manfaat diterima lebih sejuta pesara kerajaan adalah melebihi yang diterima pada ketika ini.
Beliau berkata, kira-kira 80 peratus daripada lebih sejuta ahli Kupemas adalah dalam kumpulan M40 dan B40 serta ramai dalam kalangan mereka yang menerima gaji kira-kira RM1,000 ketika bekerja dahulu.
“Jadi, kenaikan tahunan sebanyak dua peratus itu tidak terlalu besar, namun jika dihentikan tanpa sebarang pelarasan gaji baharu, ramai pesara kerajaan akan terjejas.
“Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku kerana kos sara hidup ketika ini semakin meningkat dengan pelbagai tekanan ekonomi turut dirasai mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Larkin di sini hari ini.
Sebelum ini panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan peruntukan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.
Sehubungan itu, panel dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan betul dalam mengekalkan status quo Seksyen 3 dan 6, iaitu sebelum pindaan 2013.
Omar berkata, Kupemas tidak mahu pesara kerajaan kehilangan manfaat diterima sejak 10 tahun lalu tanpa digantikan dengan apa-apa inisiatif lain dan mereka juga tidak mahu kadar pencen yang diterima setelah kenaikan tahunan dua peratus itu dikembalikan kepada pencen asal.
“Kerajaan diharap tidak memandang ringan jasa dan pengorbanan yang telah dibuat golongan pesara sepanjang mereka berkhidmat, jangan biarkan mereka terus hidup dalam kemiskinan,” katanya. – nasionalkini.my