KUALA LUMPUR, 10 Jun – 3,000 penghantar p-hailing pelbagai syarikat di seluruh Selangor menerima sumbangan tunai sebanyak RM500 menerusi Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sehingga kini sebanyak 5,358 yang memohon dan lebih 3,000 daripada diluluskan dan masing-masing menerima RM500 secara tunai dan caruman KWSP bernilai RM50 setiap seorang.
“Inisiatif ini merupakan satu bantuan Kerajaan Negeri yang diperkenalkan dalam inisiatif Peduli Rakyat (IPR) pada 2020.
“Untuk tahun ini kita RM1 juta lagi peruntukan untuk diberikan kepada yang belum dapat iaitu 2,000 lebih permohonan.
Jelasnya, pihaknya bagaimanapun berbesar hati untuk melaksana peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi membantu baki kira-kira 2,000 lagi pekerja p-hailing terbabit.
“Kita tapis mengikut syarat dan akan agihkan sekitar Julai atau Ogos, kita ambil senarai yang sudah daftar sebelum ini untuk diberikan sebab mereka ini sangat signifikan, kehidupan agak sukar, kos barang meningkat,” katanya.
Sejak inisiatif itu dilancarkan pada tahun 2020, sebanyak 19,658 permohonan diterima.
“Sehingga kini, kira-kira 9,500 orang penghantar p-hailing menerima manfaat dari program RIDE ini sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020. -nasionalkini.my