KUALA LUMPUR, 11 Julai –. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bercadang untuk memperkenalkan Akaun 3 yang akan berfungsi seperti akaun simpanan dan membolehkan pengeluaran simpanan dibuat pada bila-bila masa.
Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, Akaun 3 adalah untuk memenuhi potensi keperluan tunai kecemasan ahli.
“Dengan adanya Akaun 3 itu juga bertujuan untuk menarik minat mereka yang dalam sektor tidak formal untuk membuat caruman dengan KWSP.
“Akaun 3 akan berfungsi seperti akaun simpanan. Ia adalah untuk memenuhi potensi keperluan tunai kecemasan ahli,” katanya pada taklimat khas KWSP secara maya, hari ini.
Mengulas lanjut, Nurhisham berkata, kadar simpanan yang diperuntukkan bagi Akaun 3 mungkin membabitkan antara lima hingga 10 peratus.
“Dengan adanya Akaun 3 yang fleksibel, peratusan caruman bagi Akaun 1 juga akan dinaikkan.
Dan ahli juga akan mempunyai opsyen untuk memindahkan dana simpanan daripada Akaun 3 ke Akaun 1 dan Akaun 2,” katanya.
Bagaimanapun Nurhisham menjangkakan, dividen bagi Akaun 3 akan lebih rendah memandangkan akaun itu berfungsi seperti akaun simpanan.
Struktur skim simpanan KWSP ketika ini bagi ahli berumur bawah 55 tahun terdiri daripada Akaun 1 dan Akaun 2 dengan kadar peratusan 70 peratus dan 30 peratus. – nasionalkini.my