KUALA LUMPUR, 5 Julai – Jemaah menteri diingatkan tidak melampaui bidang kuasa masing-masing sebagai anggota pentadbiran kerajaan ketika menjawat jawatan berkenaan.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, adalah tidak wajar seorang menteri membuat ugutan terhadap orang awam yang dilihat cuba menyekat hak bersuara dan bertindak provokatif dengan penjawat awam.
Beliau merujuk dua insiden yang berlaku minggu lalu yang tidak seharusnya berlaku selain boleh menjejaskan kewibawaan kerajaan memerintah.
“Insiden pertama melibatkan seorang menteri yang di dalam siaran langsung di media sosial telah memberi amaran kepada netizen dan mengugut untuk menghantar kereta peronda polis ke rumah netizen yang membuat komentar tidak baik sepanjang sesi tersebut.
“Ugutan seperti ini bukan sahaja dilihat cuba menyekat hak bersuara, tetapi satu bentuk salah guna kuasa berunsur ‘draconian’, sedangkan proses pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaannya mempunyai tatacara tertentu.
“Sekiranya ada kesalahan dilakukan netizen, laporan perlu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan, bukannya sewenang-wenangnya mengarahkan kereta peronda polis ke rumah rakyat dan melakukan intimidasi sesuka hati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Annuar menambah, insiden kedua melibatkan kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan seorang menteri dan pegawai imigresen juga tidak wajar berlaku.
Dari sudut etika, tidak kena bagi seorang menteri untuk melayan penjawat awam sedemikian rupa yang bukan di bawah portfolio kementeriannya.
“Sekiranya ada perkara yang mengakibatkan rasa tidak puas hati menteri tersebut, dia seharusnya merujuk rakan sejawat yang bertanggungjawab dalam portfolio tersebut terlebih dahulu,” katanya.
Annuar juga menegaskan Malaysia bukan negara ketiga yang mana-mana setiap perbuatan menteri adalah absah.
Sebaliknya, Annuar menegaskan Malaysia mempunyai aturan dan prosedur tertentu dalam menjaga pengasingan serta pembahagian kuasa bagi menjaga kepentingan sejagat. – nasionalkini.my