in

Singapura bantu siasatan nahas Elmina

Gambar oleh Orang Awam

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berdepan kesukaran mendapatkan data daripada kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina Khamis lalu, selepas disahkan hangus terbakar.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihak berkuasa itu berjaya membuka CVR terbabit dan berjaya mengeluarkan komponen ‘memory puck’ yang mengandungi data rakaman suara dalam pesawat terbabit.

Katanya, CVR bersama komponen ‘memory puck’ itu sudah dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura untuk mendapatkan rakaman suara 30 minit terakhir dalam kokpit pesawat berkenaan.

“Apabila (CVR) dihantar ke makmal BSKU, (mereka) mendapati CVR terbabit rosak teruk di bahagian luarnya dan selepas itu kita mendapat tawaran bantuan teknikal daripada pihak Singapura.

“Pakar mereka datang ke Malaysia pada Jumaat lalu dan keesokannya berjaya membuka CVR serta mengeluarkan komponen ‘memory puck’.

“‘Memory puck’ itu didapati masih dalam keadaan baik, namun oleh kerana kita tidak ada peralatan untuk mendapatkan data dalam ‘memory puck’ itu, ia dihantar ke Singapura semalam,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan nahas pesawat berkenaan, hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam insiden pada jam 2.50 petang Khamis lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Dalam tragedi itu, EXCO Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan terkorban dalam nahas pesawat berkenaan.

Loke berkata, ketika ini, pegawai BSKU yang mengetuai siasatan nahas terbabit, Brig Jen Tan Chee Kee dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), masih berada di Singapura bersama pakar lain untuk mendapatkan data rakaman suara berkenaan.- nasionalkini.my

SPR Pahang terima notis kerusi DUN Pelangai kosong

Khidmat sewa pakaian tema merdeka dapat sambutan