in

10 pakar penerbangan AS lawat lokasi nahas Elmina

SHAH ALAM, 21 Ogos – Seramai 10 pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) berada di lokasi nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina, di sini, hari ini bagi menjalankan siasatan punca nahas pesawat itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata semua mereka dijangka berada di negara ini selama tujuh hingga 10 hari bagi menyiasat punca nahas itu.

“Semua mereka tiba di negara ini semalam dan pagi ini sudah memulakan siasatan.

“Kita menjangkakan operasi membawa keluar bangkai pesawat akan selesai hari ini dan sekiranya tidak sempat, kita akan terus menempatkan anggota untuk memantau keadaan di lokasi kejadian kerana tidak mahu ada aktiviti di luar jangkaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi kejadian bersama pegawai penyiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kol Muhammad Abdullah.

Mohd Iqbal berkata, lapan pegawai BSKU turut terbabit dalam penyiasatan nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu itu.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja membawa keluar bangkai pesawat sedang dijalankan dan sebuah lori digunakan untuk membawa bangkai pesawat ke hangar di Subang untuk siasatan selanjutnya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan laporan awal siasatan nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu akan disediakan dalam masa 30 hari daripada tarikh kemalangan udara itu berlaku.

Siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), sudah pun dimulakan pasukan BSKU bermula pada tarikh kejadian itu.

Khamis lalu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.- nasionalkini.my

Suspek jual bintang, lencana darjah kebesaran Pahang sudah ditahan

Urutan refleksologi bikin tenang jiwa