in

UMNO Team A, Team B muncul di Sungai Bakap

Gambar hiasan

LIPIS, 25 Jun – Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap dan isu BlackRock dilihat bakal menguji kekuatan sebenar akar umbi UMNO.

Ini susulan perbezaan pandangan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam menangani isu penjualan saham MAHB.

Dr Abdul Rasid bersama Tun Dr Mahathir

Pengerusi Perikatan Nasional Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, percanggahan pendapat itu juga dilihat bakal menimbulkan persepsi dalam kalangan ahli akar umbi parti itu.

“Mohamad Hasan kata isu tak pernah bincang dalam mesyuarat Kabinet dan minta kerajaan kaji semula keputusan untuk menjual saham MAHB kepada BlackRock.

“Tapi, semalam Zahid keluarkan kenyataan bahawa pendirian UMNO dalam hal itu sudah selesai… UMNO sependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi, adakah ini bermakna UMNO sudah ada Team A dan Team B?,” soalnya.

Dr Abdul Rasid berharap kekeliruan dan kekalutan kerajaan dalam isu BlackRock dapat membuka mata rakyat.

Katanya, tindakan beberapa pihak pro kerajaan yang menyokong penjualan saham itu menimbulkan pertanyaan tertentu.

Gambar hiasan

“Macam Tun Dr Mahathir Mohamad cakap sebelum inilah… adakah transaksi BlackRock mempunyai ‘muslihat’ yang kita tak fahami.

“Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh pun mempersoalkan perkara ini dan dia tidak dikenakan tindakan oleh Zahid.

“Jadi, saya lihat isu BlackRock di samping tindakan ‘memansuhkan’ subsidi diesel secara tidak langsung akan memberi kesan kepada PRK Sungai Bakap,” katanya. – nasionalkini.my

Penting sertai badan khairat kematian

Kerja struktur ECRL Kotasas siap