KUALA LUMPUR, 22 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diingatkan supaya berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menasihatikan Ahmad Zahid supaya memberi keutamaan kepada parti komponen dalam BN.
“Perlu diingatkan bahawa beliau haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen dalam BN dan bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP.
“Kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan juga menguntungkan kedua-dua pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan segala pendirian dan pandangan daripada parti MCA mesti dinyatakan oleh pemimpin MCA sendiri dan bukannya daripada pihak lain.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, ahli UMNO, MCA boleh menyokong calon DAP – yang mana konsep sama dilaksanakan oleh pengundi UMNO menyokong dan mengundi calon MCA pada pilihan raya sebelum ini.
Justeru katanya, kaedah itu boleh diguna pakai untuk menyokong calon dari DAP.
Tambahnya, atas dasar kebersamaan strategi itu dapat digunakan bagi memilih calon dalam parti Kerajaan Perpaduan.
Sebelum itu, pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam kerajaan.-nasionalkini.my