in

Rezeki ‘terpijak’ menjelang Syawal

KUANTAN, 7 April – Ketika Muhammad Shahrodzy Abdul Halim dan isterinya, Wan Norhidayah Wan Mohd memilih untuk membeli kelengkapan hari raya di Grand Bazaraya Makmur Aidilfitri 2024 dekat Sekilau, mereka tak menyangka akan memenangi hadiah cabutan bertuah.

Apatah lagi, keduanya mengakui tidak pernah mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan atau program yang menyediakan cabutan bertuah kepada pelanggan.

Namun siapa sangka rezeki mereka murah malam tadi apabila diumumkan sebagai penerima hadiah utama cabutan bertuah di bazar Aidilfitri itu dan membawa pulang sebuah kereta Proton Saga baharu.

Wan Norhidayah yang terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang, hilang kata-kata ketika ditemui media di situ.

Muhammad Shahrodzy dan Wan Norhidayah

“Sekarang pun saya masih tak percaya saya menang kereta… tak tahulah nak cakap apa, tapi memang betul tak sangka,” katanya yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di bandar raya Kuantan.

Dia mengakui selama ini hanya dapat melihat orang lain memenangi cabutan bertuah, terutamanya apabila pasar raya tempat dia bekerja mengadakan pertandingan seumpama itu.

“Kami cuma boleh tengok saja, sebab kakitangan pasar raya tak boleh ambil bahagian,” jelasnya.

Wan Norhidayah memaklumkan dia dan suami membelanjakan kira-kira RM700 untuk membeli pakaian raya mereka berdua dan lima anak mereka di situ.

Sementara itu, Muhammad Shahrodzy berkata, buat masa ini mereka memiliki sebuah kereta yang sudah berusia lebih 14 tahun.

“Syukur sangat bila dapat kereta ini, bolehlah untuk kami gunakan.. lebih selesa sebab kereta sekarang dah lebih 14 tahun umur,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Shafieq Johari

Dalam pada itu, wakil penganjur Grand Bazaaraya Makmur Aidilfitri 2024, Shafieq Johari berkata, idea memperkenalkan cabutan bertuah di tapak bazar berkenaan adalah bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung dan membuat sesuatu kelainan.

“Kami menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah setiap minggu dan malam ini adalah kemuncak apabila pemenang hadiah utama dipilih.

“Tujuan utama kami menggunakan pendekatan ini adalah untuk membantu merancakkan perniagaan vendor kami yang berniaga di tapak bazar Aidilfitri Sekilau.

“Setakat ini kami amat berpuas hati dengan sambutan dan jumlah pengunjung yang datang berbelanja di sini,” jelasnya.

Dia berkata, pihak pengurusan MitaShaMika Resources bercadang untuk menyediakan lebih banyak hadiah cabutan bertuah pada penganjuran bazar Aidilfitri tahun depan.

“Tahun depan kami rancang hendak membuat dua kategori cabutan bertuah iaitu untuk pengunjung dan vendor supaya semua pihak dapat merasai rezeki membawa pulang hadiah yang kami akan sediakan,” katanya.— nasionalkini.my

 

20240406 075637

Jumlah pelancong ‘hilang’ lepas masuk Malaysia membimbangkan

Mansuhkan program MM2H