KUANTAN, 1 April – Semua operator pusat sembelihan perlu diuruskan juru sembelih muslim dan warga tempatan.
Ini bagi menjaga status halal di setiap pusat sembelihan yang beroperasi di Pahang, dan seluruh negara.
AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, banyak kes dilaporkan sebelum ini mengenai tindakan pemilik pusat sembelihan menggajikan warga asing.

“Status sembelihan oleh warga asing ini meragukan.. adakah ia halal dan mematuhi syariat ditetapkan Islam.
“Sebab itu kita perlu tegas dalam hal ini yang membabitkan makan minum orang Islam,” katanya.
Dia juga mencadangkan jabatan agama Islam negeri membuka pusat sembelihan sendiri demi menjaga kemaslahatan umat Islam.
“Apabila jabatan agama Islam yang kendalikan pusat sembelihan, maka kita lebih yakin.
“Wujudkan jawatan tukang sembelih professional yang gaji mereka dibayar oleh jabatan agama Islam negeri berkenaan,” katanya lagi.
Abdul Rasid juga meminta pihak berkaitan membuat kajian untuk membuka ladang ternak ayam berskala besar milik orang muslim.

Katanya, ia bagi menjamin rantaian bekalan ayam di pasaran.
“Perkara ini boleh dijayakan secara usahasama dengan pusat kutipan zakat setiap daerah dan negeri.
“Perluaskan konsep ini di semua peringkat parlimen atau dewan undangan negeri.
“Wujudkan akta dan Undang-Undang khusus bagi tujuan ini,” katanya.– nasionalkini.my