KUALA LUMPUR, 13 Jun – Keperitan hidup seorang pelajar lepasan SPM, Ahmad Awaluddin Idris dari Perak yang berdepan masalah jantung berlubang namun ikhlas membantu ibu saudaranya yang ditimpa kemalangan mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selepas mengetahui kesusahan pelajar berkenaan beliau terus meminta Pengarah Mara Perak untuk bertemu remaja berkenaan selepas terbaca kisah seorang pelajar yatim piatu yang berdepan masalah kesihatan untuk dibantu.
“Saya terbaca kisah pelajar yatim piatu, ayahnya meninggal dunia ketika usianya dua tahun manakala ibunya meninggal usia empat tahun, lepasan SPM dan pesakit jantung yang terpaksa jual nasi lemak di Padang Rengas Perak kerana ingin bantu ibu saudara yang patah kaki kerana terlibat kemalangan.
“Saya minta Pengarah Mara Perak untuk bertemu dengan adik Udin bagi membolehkan MARA bantu dengan peluang latihan keusahawan, pembiayaan mahupun untuk adik ini dapat melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pendidikan Mara bergantung keputusan SPM nanti,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.
Namun tidak sampai 24 jam, pegawai Mara terus bergegas ke kediaman Awaluddin dan menyampaikan bantuan dan keperluan selain menawarkan peluang kemahiran dalan masakan bagi menyambung pengajian bagi sijil Peramusaji dan masakan selama enam bulan bersama giat mara.
Dr Asyraf sebelum ini menjelaskan Mara bukan sahaja menumpukan kepada pelajar cemerlang sahaja.
Malah turut membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua pelajar yang kurang bernasib baik untuk menceburi pelbagai bidang latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan zaman dan pasaran.
Terdahulu kisah Awaluddin yang menjual nasi bagi membantu ibu saudara yang selama ini membesarkan selepas ibu bapanya tiada tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Kegigihan dirinya yang berniaga mendapat pujian ramai walaupun menyedari dirinya sendiri tidak sihat kerana berdepan masalah kesihatan serius. – nasionalkiny.my