KABUL, 13 Jun – Lebih 1 juta kanak-kanak di Afghanistan disahkan menjadi buruh dan melakukan kerja-kerja berbahaya melebihi 15 jam sehari.
Sepanjang tahun 2020 dan 2021 sebanyak 1.06 juta kanak-kanak yang berusia 5 hingga 17 tahun dikesan menjadi buruh di negara itu, kata Ketua Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Ramin Behzad.
“Lebih sejuta daripada kanak-kanak di negara terbabit dengan kerja berat dan hampir dua juta lagi bekerja di jalanan.
“Daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak di Afghanistan sehingga kini adalah 19.5 juta dan 11.4 juta daripadanya dilaporkan tidak bersekolah berikutan kemiskinan dan peperangan selain masalah ekonomi.
“Selain itu 7.8 juta kanak-kanak tidak bersekolah menyebabkan mereka terbabit dengan kerja-kerja bahaya selain 1.9 juta lagi kerja di jalanan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kesatuan Buruh Kebangsaan, Sharaf Hameedi pula berkata, sebahagian kanak-kanak di negara itu kini terpaksa bekerja berat melebihi 15 jam sehari.
“Sepatutnya mereka tidak kerja lebih daripada 35 jam seminggu namun di sini kanak-kanak terpaksa bekerja lebih daripada 15 jam,” katanya.
Sejak Afghanistan ditadbir Taliban pelbagai bantuan antarabangsa disekat dan dikurangkan termasuk beberapa aset negara juga dibekukan menyebabkan krisis ekonomi dan kemanusiaan di negara tersebut semakin kritikal. – Agensi