in

Keputusan tarik balik rayuan kes kalimah Allah lepas rujuk Majlis Raja-Raja Melayu

IMG 20230523 131317 6 x 4 inch
Gambar oleh Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal sama sekali dakwaan bahawa keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah ‘Allah’ di mahkamah tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, tuduhan sedemikian tidak sepatutnya timbul dengan keputusan dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terikat keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang menyatakan nama ‘Allah’ tidak boleh digunakan di Semenanjung dengan kelonggaran secara bersyarat diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Tak timbul sama sekali soal tak dirujuk. Keputusan dibuat Jemaah Menteri pada 7 Februari memperakui apa yang disebut oleh Yang Di-Pertuan Agong.

“Peguam Negara sudah meneliti dan melihat kes ini, khusus dari segi pentadbiran tidak membabitkan (kalimah) ‘Allah’ kerana peraturan KDN iaitu bersabit dengan dokumen dan cakera padat (dibawanya) untuk Sarawak.

“Maka keputusan Peguam Negara adalah untuk tidak membuat rayuan kerana pada pendapat (Peguam Negara), keputusannya adalah selari dengan keputusan MRR.

“Keputusan ini juga sama dengan keputusan yang tidak diubah selama ini terutama (peraturan) pada 1986, bahkan sebelumnya,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, lapor BH.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang mendakwa kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang implikasinya begitu besar terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pada Mac 2021 Mahkamah Tinggi melalui keputusannya menyatakan bahawa wanita dari Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi tujuan pendidikan agama dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, bahasa Melanau.

Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin kemudiannya berkata, arahan KDN pada 5 Disember 1986 melarang penggunaan perkataan ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘solat’ dan ‘Kaabah’ oleh orang bukan Islam tidak sah di sisi undang-undang.

Minggu lalu, kerajaan memutuskan untuk menghentikan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh dan bersepadu.

Dalam pada itu, Anwar mengesahkan tindakan menarik balik rayuan sudah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, di mana baginda memberikan supaya semua keputusan yang akan dibuat mengenai isu kalimah ‘Allah’ harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong juga memperkenankan supaya kes berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Tuanku memperkenankan supaya kita (kerajaan) merujuk MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor yang akan memberikan beberapa pandangan bagi memperkemas peraturan ini, (iaitu) tidak boleh dipakai di Semenanjung dan dibolehkan di Sabah dan Sarawak dengan syarat tertentu.

“Insya Allah, ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai nanti,” katanya.

Anwar turut menegaskan, keputusan menarik balik rayuan berkenaan tidak bermaksud kerajaan memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’.

“Saya tak fikir munasabah untuk dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini memperaku keputusan dibuat oleh Majlis Raja-Raja.

“Bahkan hakim (kes itu) dalam keputusannya menyatakan ia adalah keputusan pentadbiran dan bukan (berasaskan) teologi,” katanya.

Idris turut mengemukakan soalan tambahan berhubung kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang menyifatkan penggunaan kalimah Allah hanya terpakai di Sarawak, sedangkan kes berlaku di Selangor, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya.

Anwar ketika memberikan reaksi berhubung pertanyaan itu mengakui terdapat percanggahan yang perlu diperbetulkan.

“Sama ada Mahkamah Borneo atau Mahkamah Tinggi di sini (Semenanjung), ia berdasarkan dua peraturan yang bercanggah iaitu peraturan dahulu.

“Maka sekarang, keputusan kita adalah mematuhi sepenuhnya keputusan Majlis Raja-Raja mengenai (penetapan) penggunaan kalimah Allah di Semenanjung dan ruang yang diberikan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Cadangan perkemas peraturan dibentang Mesyuarat Raja-Raja Julai

Sementara itu, Perdana Menteri berkata cadangan bagi memperkemas peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi tujuan itu.

“Kita akan rujuk kepada MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor, akan beri pandangan, memperkemas peraturan ini supaya keputusan muktamad (mengenai penggunaan kalimah Allah) tidak boleh dipakai di Semenanjung, (dan) boleh dengan ruang dan syarat tertentu di Sabah dan Sarawak.

“Insya-Allah akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai nanti,” katanya menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) adakah kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri terlebih dahulu sebelum menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah. – nasionalkini.my

20230511 101730

Guru besar didakwa pecah amanah wang sewa mesin layan diri

IMG 20230523 133916 6 x 4 inch

Suami isteri ahli sindiket curi susu formula dipenjara 12 bulan