in

Suami isteri ahli sindiket curi susu formula dipenjara 12 bulan

Tertuduh, Mohd Azlee Ibrahim, 39 dan isterinya, Noor Bayah Ab Manaf, 31 dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka hari ini selepas membuat pengakuan bersalah mencuri 20 kotak susu bernilai RM6,747.60 di sebuah pasar raya, Februari lalu

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 23 Mei – Sepasang suami isteri yang juga ahli sindiket aktiviti curi susu formula sebelum menjualnya kepada pihak ketiga dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Mereka dijatuhi hukuman itu di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 20 kotak susu di sebuah pasar raya di sini Februari lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua tertuduh, Mohd Azlee Ibrahim, 39 dan Noor Bayah Ab Manaf, 31 yang mengaku mencuri susu bernilai RM6,747.60

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama didapati dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1, 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2, 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kesalahan dilakukan di pasar raya AEON Lebuh Ayer Keroh di sini antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam 13 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, pasangan berkenaan turut mempunyai rekod kes sama dan aktif melakukan jenayah di beberapa negeri menjual susu terbabit kepada beberapa pelanggan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon pasangan itu dikenakan hukuman berat kerana modus operandi mereka adalah menjual susu formula yang dicuri ikepada pihak ketiga yang turut membuat pengakuan bersalah membeli susu berkenaan daripada kedua-dua tertuduh dalam pertuduhan sebelum ini.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malik dalam rayuannya merayu hukuman penjara yang ringan dan dijalankan dari tarikh ditangkap, perlu menyara empat anak selain Noor Bayah kini sedang mengandung tiga bulan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman setiap tertuduh dipenjara 12 bulan dari tarikh ditangkap pada 16 Februari lalu. – nasionalkini.my

Keputusan tarik balik rayuan kes kalimah Allah lepas rujuk Majlis Raja-Raja Melayu

WhatsApp Image 2023 05 23 at 2.16.52 PM

Duda ugut ibu guna pisau demi wang dipenjara 24 bulan