in

Isu pengguna kalimah Allah perlu dibincangkan MKI sebelum rujuk Majlis Raja-Raja – Sultan Selangor

352531142 580223303991032 8927967468048545648 n
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya isu sensitiviti agama terutama melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincangkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda sudah berbincang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar İbrahim yang hadir menghadap dan menyembah taklimat mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes baru-baru ini.

Baginda yang juga Pengerusi MKI turut disembah maklum komitmen kerajaan yang akan merujuk kepada Majlis Raja-Raja bagi penetapan dasar berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Beta menyatakan pandangan yang turut dipersetujui Yang di-Pertuan Agong bahawa perkara itu perlu dibawa terlebih dulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras fungsi menasihatkan Raja-Raja Melayu menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Selain itu, ia melibatkan sensitiviti agama yang perlu dimuktamadkan segera oleh kerajaan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda kenyataan dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, Perdana Menteri bersetuju membawa isu itu kepada MKI pada Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober nanti.

“Beta percaya pandangan MKI penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah.

“Semua pihak diseru menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut mahu penyelesaian isu itu dibuat secara berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain mengamalkan agama mereka.

“Beta juga menyeru semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu itu lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad kelak.

Ini bagi memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi,” tegas baginda. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 06 07 at 1.54.10 PM

Cemar sisa kimia di Sungai Melaka, kilang elektronik didenda RM30,000

347415410 241239001945503 3811573890317767301 n

Dua mayat ditemui dalam tasik di Kepong