LIPIS, 19 Jun – Dakwaan mengenai saham milik MAHB akan dijual kepada konsortium BlackRock sememangnya mencetus gelombang kerisauan dalam kalangan aktivis dan ahli politik di negara ini.
Justeru, kesilapan dalam membuat keputusan penting dalam urusniaga antara MAHB dan BlackRock dilihat akan menimbulkan persoalan terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Palestin – Israel.
Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, Anwar sebagai pemimpin utama negara mempunyai kuasa untuk menghentikan sebarang usaha penjualan saham membabitkan aset strategik negara itu.
“Ini cabaran besar yang menunggu Anwar, kalau silap buat perkiraan… sudah tentu ia akan memberi kesan jangka panjang yang kurang baik.
“Saham MAHB sepatutnya dikawal oleh kerajaan atau sekurang-kurangnya oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkemampuan dan memiliki kepakaran.
“Tambah pula prestasi BlackRock itu sendiri yang sangat meragukan selepas pendedahan pihak tertentu sebelum ini menunjukkan konsortium terbabit tidak pandai menguruskan perniagaan berasaskan lapangan terbang,” katanya.
BlackRock sebelum ini menerima tekanan antarabangsa kerana dituduh terlibat bersama dalam jenayah perang Israel menceroboh Palestin.
Konsortium itu juga dilaporkan sangat cemerlang dalam mengukuhkan ekonomi Israel selain pelaburan besarnya dalam industri senjata AS.
BlackRock juga dikatakan memiliki kepentingan dalam perniagaan McDonald’s dan Starbucks serta memiliki sejumlah pelaburan dalam syarikat Lockheed Martin yang secara jelas begitu membantu sistem persenjataan tentera regim Zionis.
Dalam perkembangan sama, Dr Abdul Rasid meminta lebih ramai ahli politik tanpa mengira daripada parti mana untuk membantah sebarang usaha menjual saham MAHB kepada BlackRock.
“Ini bukan soal politik saja kerana ia membabitkan kepentingan negara.
“Kita perlu mempertahankan MAHB daripada menjadi milik syarikat atau entiti asing,” tegasnya. – nasionalkini.my