Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 13 Jun – Nasib dan kebajikan kira-kira 1,000 nelayan yang terkesan dengan projek tambak laut dan pembinaan pelabuhan laut dalam di Melaka akan terus dibela.
Itu jaminan diberikan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh pada sesi dialog bersama 553 nelayan selatan di Pantai Kundor di sini hari ini.
Menurutnya, kebajikan masyarakat nelayan akan menjadi keutamaan di bawah Tabung Nelayan yang sedang merangka strategi komprehensif bagi membantu nelayan terjejas akibat projek sepanjang 33 kilometer pinggir pantai negeri itu.
“Kita akan tambah baik keupayaan mereka ini daripada nelayan konvensional kepada nelayan yang lebih moden supaya mereka mencari rezeki lebih jauh ke tengah laut dengan berkongsi bot yang lebih besar dilengkapi Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

“Keduanya, kita tak boleh mengharapkan semata-mata dengan hasil tangkapan ikan jadi yang ini kena bantu bagaimana mereka boleh jadi usahawan tani dan juga penternakan akuakultur,” katanya.
Beliau ditemui media selepas mengadakan sesi dialog bersama 553 nelayan di Pantai Kundor, di sini hari ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, inisiatif akuakultur telah pun bermula menerusi projek perintis Kebun Kerang seluas 21 hektar yang sedang dilaksanakan di perairan selatan Melaka.
“Jadi, projek akuakultur ini yang akan dijangka bakal melibatkan hasil berjumlah sehingga RM4 juta Disember ini mungkin boleh diperluaskan kepada nelayan di negeri ini.
Dr Muhamad Akmal Saleh
“Sebab itu kita anjurkan dialog ini supaya persatuan nelayan di Melaka dapat memberikan cadangan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek tertentu di pinggir pantai,” katanya.
Sementara itu, Tuminah berkata, dialog yang julung kali diadakan itu berjaya menjadi penghubung antara nelayan dan agensi berkaitan dalam sektor perikanan dan penguatkuasaan di laut. – nasionalkini.my.