TAWAU – Misteri kehilangan seorang nelayan warga emas sejak Rabu lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayat mangsa dalam perut seekor buaya yang ditembak Jabatan Perhilitan di sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita, dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, operasi mencari mangsa, Addi Bangsa, 60, dilakukan bersama Jabatan Hidupan Liar.
“Pada hari keempat operasi, Pasukan Perhilitan menjumpai seekor buaya yang dipercayai membaham mangsa dan bertindak menembak haiwan itu seterusnya membelah perutnya lalu mendapati benar terdapat mangsa di dalam perut haiwan itu.
“Pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau, Primus Lambut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan buaya jantan dianggar seberat 800 kilogram serta berukuran 4.26 meter panjang itu ditembak awal pagi tadi di kawasan laut, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.
“Kami telah menerima maklumat daripada pihak bomba pada hari kedua operasi dan mengarahkan anggota supaya membantu operasi pencarian,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan kehilangan nelayan itu disedari ahli keluarganya kira-kira 4 pagi, Rabu lepas.