KUALA LUMPUR, 13 Jun – Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi persediaan hingga Ijazah di dalam dan luar negara berpeluang menikmati kadar Elaun Sarah Hidup (ESH) tambahan sebanyak RM100 mulai 1 Julai depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar elaun itu membolehkan pelajar tajaan kerajaan memberi tumpuan kepada pencapaian kecemerlangan akademik tanpa memikirkan bebanan kewangan pengajian.
“Tapi belanjalah dengan berhemah, jangan membazir, jangan hisap vape (rokok elektronik).
“Kena fikir guna cara halal sebab saya tolong kerana saya fikir saudara susah nak makan, nak beli buku kalau buat yang tidak betul, itu membazir,” katanya ketika hadir Majlis Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pelajar Tajaan JPA Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Kenaikan elaun itu melibatkan kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara, kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) yang telah dinaikkan pada 7 November 2022.
“Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai ini, yang akan memanfaatkan 43,595 orang pelajar tajaan JPA.
Kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar B40 yang tinggal di bandar-bandar besar negara pengajian,” katanya. -nasionalkini.my