in

Kanak-kanak mangsa keracunan nikotin

20230606 074451
Kanak-kanak yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik itu dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas di Bera, Pahang, hujung bulan lalu disyaki mengalami keracunan nikotin akut.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata kanak-kanak yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik itu dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang.

Katanya, pada 30 Mei lalu, mangsa ditemukan datuknya bersama vape pakai buang.

“Kanak-kanak ini seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak dan dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali ketika proses rawatan.

“Terkini, keadaan pesakit adalah stabil dan bernafas tanpa bantuan alat pernafasan dan dipantau oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

IMG 20230528 100349 6 x 4 inch
Gambar hiasan

KKM berkata pada mulanya kes berkenaan dilaporkan sebagai probable kes EVALI (Electronic Vape Associated Lung Injury).

Namun katanya, hasil penemuan klinikal didapati tidak memenuhi kriteria EVALI sebagaimana dalam `Clinical Practice Guidelines on Management of E-Cigarette Or Vaping Product Use Associated Lung Injury (EVALI)’ 2021.

“Keputusan ujian air kencing menunjukkan kehadiran nikotin pada paras yang tinggi,” katanya,

KKM berkata, peranti rokok elektronik yang ditemui juga sudah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

Katanya, mangsa juga disahkan menghidapi `Acute Life Threatening Event Secondary To Possible Alleged Nicotine Ingestion Complicated With Seizure’.

Sehubungan itu, KKM menasihati orang ramai bahawa sebarang penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik adalah berbahaya kepada kesihatan.

“Keracunan nikotin akibat penggunaan tembakau atau cecair rokok elektronik boleh menyebabkan kesan akut seperti debaran jantung atau palpitation, muntah dan sawan.

“Ia boleh terjadi kepada semua pengguna termasuk kanak-kanak. Kesan nikotin yang tinggi serta pendedahan nikotin untuk jangka masa panjang terutama kepada kanak-kanak akan menyebabkan pertumbuhan otak terjejas,” katanya. – nasionalkini.my

besi pagar

Kanak-kanak 12 tahun berdepan saat getir selepas punggung tercucuk besi pagar sedalam 5cm

Syarikat penerbangan untung dua kali ganda