TANJUNG MALIM, 6 Jun – Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Lubuk Gelap Simpang Empat di sini sejak Sabtu lalu, akhirnya berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat tersangkut pada kayu berhampiran tebing Sungai Bernam.
Mayat Edward Grang Anak Jenggut berusia lapan tahun ditemukan sekitar jam 12.35 tengah hari, hari ini kira-kira lapan kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari berkata, kedudukan mangsa berjaya dikesan seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Operasi mencari dan menyelamat bermula jam 9.30 pagi melibatkan 49 anggota penyelamat merangkumi jarak pencarian sehingga sembilan kilometer.
“Ketika dijumpai, mangsa hanya memakai seluar renang berwarna hitam tersangkut pada kayu. Mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Media melaporkan, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan perkelahan itu sekitar jam 5 petang. – nasionalkini.my