GAZA, 27 Jun – Lapan daripada 10 kanak-kanak di Semenanjung Gaza berdepan tekanan psikologi akibat sekatan tentera Israel ke atas wilayah terkepung itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Mental Gaza, Dr Yasser Abu Jameh mendedahkannya menerusi kajian dan penyelidikan yang menunjukkan kesan psikologi terhadap penduduk di Gaza.
Malah, Save the Children, sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mendedahkan secara majoriti atau 80 peratus kanak-kanak di Gaza mengalami masalah mental, tahun lalu.
Selain itu, dua pertiga daripada ibu bapa Gaza mengaku tidak mampu memberi sokongan kepada anak-anak mereka dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Abu Jameh menambah, masyarakat Palestin di Semenanjung Gaza yang terkepung juga berdepan masalah lain terutamanya sekatan Israel sekali gus menyebabkan dua pertiga daripada rakyat menjadi pelarian.
Malah, hampir separuh daripada penduduk Palestin tiada pekerjaan, situasi berkenaan sekali gus menunjukkan mereka berdepan realiti tekanan yang hebat.
Berdasarkan statistik terbaharu menunjukkan lebih daripada 200,000 rakyat di Semenanjung Gaza dan sekurang-kurangnya generasi ke-10 berdepan tekanan dan mencapai tahap gangguan mental yang sederhana dan teruk.
“Statistik ini adalah selari dengan laporan antarabangsa yang mengesahkan kira-kira 10 peratus penduduk di kawasan yang terdedah kepada krisis kemanusiaan atau akibat peperangan mengalami penyakit mental sederhana hingga teruk,” katanya.