KUALA LUMPUR, 30 Mei – Prospek inflasi tahun ini dilihat tidak menentu terutamanya dipengaruhi semakan semula subsidi bahan api dan juga kelemahan ringgit.
Menurut Public Investment Research, inflasi keseluruhan tahun ini berkemungkinan berlegar pada purata antara 3 peratus dan 3.5 peratus, dengan kaveat bahawa sebarang pindaan pada had harga minyak runcit atau pelaksanaan langkah kawalan harga mungkin menjejaskan unjuran itu.
Penganalisisnya, Sabrina Edora berkata, inflasi keseluruhan di Malaysia telah memperlihatkan trajektori menurun sejak kebelakangan ini, terutamanya didorong pelbagai faktor kos.
Meskipun keadaan secara umumnya berkurangan, inflasi teras kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh.
“Tinjauan inflasi cenderung kepada risiko yang ketara meningkat, kekal terdedah kepada potensi perubahan dalam dasar domestik berkaitan subsidi.
“Malah, kami menganggarkan subsidi bahan api yang dimansuhkan untuk kumpulan pendapatan T20 akan meningkatkan inflasi antara 0.45 hingga 0.75 mata peratusan tambahan setiap tahun,” katanya dalam nota kajian.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan, dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini.
Dalam pada itu, MIDF Research berkata, kelemahan ringgit kemungkinan akan meningkatkan inflasi import terutama makanan dalam tempoh terdekat ini.
Namun, ia menjangkakan inflasi makanan di dalam negara akan terus menurun berikutan harga komoditi global mengalami pembetulan sederhana khususnya membabitkan harga berkaitan pertanian dan rantaian bekalan yang bertambah baik di peringkat serantau dan domestik.
“Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) secara berterusan berikutan pengetatan dasar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan ketegangan geopolitik semakin meningkat.
“Faktor-faktor ini akan memberi risiko penurunan kepada prospek inflasi global dan meningkatkan tekanan harga di Malaysia,” katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan unjuran inflasi utama pada 2.5 peratus tahun ini memandangkan sebarang langkah subsidi bersasar ke atas RON95 dan diesel dijangka dilaksanakan pada 2024.
Kenanga Research turut mengekalkan unjuran inflasi utama tahun ini pada 2.9% berikutan inflasi makanan mungkin meningkat pada separuh kedua 2023.
Di sebalik laporan media mengenai subsidi bersasar elektrik dan bahan api yang akan dilaksanakan tahun depan, firma itu bagaimanapun tidak menyemak turun unjuran inflasi.
“Ini disebabkan pemansuhan harga kawalan ayam dan telur (dijangka pada Julai) dan gelombang haba yang berterusan di Asia Tenggara mungkin memberi kesan kepada kenaikan inflasi makanan.
“Selain itu, ketegangan perang Rusia-Ukraine akan terus memberi tekanan kepada harga,” jelasnya.
Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat lalu menunjukkan inflasi di Malaysia meningkat dengan kadar perlahan kepada 3.3 peratus pada April 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.0 berbanding 125.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. – nasionalkini.my