KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kerajaan tidak bercadang menaikkan harga minyak masak paket bersubsidi kerana belum tiba masanya untuk berbuat demikan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia memandangkan rakyat pada ketika ini masih bergelut dengan isu peningkatan kos sara hidup.
“Kerajaan akan memulakan inisiatif pemberian subsidi secara bersasar kepada rakyat kerana kerajaan banyak berbelanja untuk subsidi minyak masak paket dan minyak petrol RON95 misalnya dan barang subsidi lain.
“Namun, buat masa ini kerajaan masih mengekalkan subsidi ini demi rakyat.
“Apabila ekonomi telah pulih, kita wujudkan kembali ekosistem yang sempurna dan juga subsidi disasarkan, seterusnya kita dapat membuat penjimatan dari segi perbelanjaan negara,” ujarnya semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menaikkan harga minyak paket bersubsidi. – nasionalkini.my