DUNGUN, 4 Jun – Pengerusi UMNO Terengganu mencabar Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhujah dengannya berhubung penjualan tanah kerajaan yang dijual kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan harga rendah dan tidak bermunasabah.
Datuk Ahmad Said menegaskan pemimpin utama negeri itu perlu menjelaskan perkara sebenar bagi membuktikan tindakan yang dilakukan tidak menyalahi undang-undang.
“Kalau dia kata ikut saluran undang-undang masuk mesyuarat semua. Tetapi, adakah logik harga tanah bernilai RM29 juta dijual pada harga RM500,000.
“Bagi saya itu satu pengkhianatan kepada rakyat Terengganu. Saya cabar Menteri Besar berdebat dengan saya.
“Saya sendiri pernah bekerja sebagai Penolong Pegawai Daerah bahagian tanah, beribu-ribu keping geran tanah saya pernah tandatangan, saya tahu undang-undang dan peraturan tanah,,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Barisan Nasional Parlimen Dungun di Dataran Piramid Bukit Besi, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya kini masih menunggu tindakan seterus selepas melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Namun belum ada sebarang tindakan berhubung perkara berkenaan.
Justeru bekas ADUN Kijal itu menggesa supaya tindakan segera diambil bagi memastikan agensi berkenaan tidak dipertikaikan oleh rakyat.
Beberapa hari lalu, tular isu penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi berdekatan bangunan Badan Perhubungan PAS Terengganu didakwa dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan bayaran premium RM500,000.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menjelaskan penjualan tanah kerajaan negeri kepada sebuah NGO itu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu. -nasionalkini.my