in

Bedah siasat mangsa nahas Elmina selesai

Gambar oleh Bernama

KLANG, 19 Ogos – Proses bedah siasat 10 mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam selesai malam tadi dan kini menunggu hasil padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lebih 300 sampel cebisan mayat sudah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA dan 30 peratus berjaya diselesaikan.

Menurutnya, seramai 30 pegawai patologi dan forensik terbabit dalam bedah siasat berkenaan.

“Semalam kita mendapat satu padanan DNA positif milik penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, dan jenazah diserahkan kepada warisnya pada pagi ini.

“Pihak Jabatan Kimia sedang berusaha keras untuk melengkapkan semua padanan DNA dan kita positif semua urusan akan selesai Isnin ini,” katanya pada sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini, lapor BH.

Beliau berkata, selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah juga dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

“Setakat ini polis telah berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa.

“Satu lagi jenazah dijangka dapat dikenal pasti pada hari ini dan boleh diserahkan esok,” katanya.- nasionalkini.my

Jenazah Muhamad Hafiz diserah kepada keluarga

Remaja mental tikam mati adik