Oleh Ahmad Abd Hamid
BERANI sungguh pendatang asing tanpa izin (PATI) mencabar pihak berkuasa dengan meneroka semula penempatan haram di Kuala Lumpur walau pun sebelum itu kawasan berkenaan sudah digempur dan tindakan diambil terhadap yang terlibat.
Perlakuan mereka menampakkan sikap tidak menghormati undang-undang negara dan mempersenda pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), polis serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan, Syamsul Badrin Mohshin, terdapat sembilan kawasan penempatan haram PATI di ibu negara yang pernah digempur aktif semula.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kawasan berkenaan secara terperinci.
Dipercayai ini adalah strategi untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan dan risikan tanpa gangguan. Dengan itu mudah bagi mereka merancang tindakan susulan seperti menyerbu dan membanteras aktiviti PATI ini.
Yang jelas, sikap PATI menunjukkan mereka sentiasa menunggu peluang untuk kembali. Mereka tidak serik walau sudah diambil tindakan sebelumnya. Mereka menuggu sahaja bila penguatkuasa sibuk untuk datang kembali ke penempatan haram, bagai pelanduk yang tidak takut jerat.
Antara faktor yang digariskan oleh JIM kenapa PATIiini kembali ialah kerana ada kawan di kawasan tersebut. Ertinya selepas mereka digempur, ada pula kelompok datang mengambil alih menduduki kawasan berkenaan.

Apabila orang baharu hadir di situ, orang lama yang sudah digempur mengambil peluang utuk kembali. Seolah-olah mereka berpakat, keluar kerana digempur dan biarkan kawan ambil alih tempat. Selepas itu mereka masuk kembali ke dalam kawasan berkenaan.
Kita berharap dan percaya JIM dan agensi penguatkuasa lain sedar dan tahu taktik PATI. Jangan beri muka. Gempur dan usir mereka, baik yang baharu datang atau mereka yang kembali semula. Biar mereka tahu kerajaan serius membanteras PATI dan penempatan haram.
Cuma masalahnya ada juga dalam kalangan warga tempatan ini yang bersekongkol dengan PATI, misalnya membenarkan PATI tinggal dalam kawasan tanah mereka.
Tentunya dengan bayaran tertentu. Malah ada pemilik tanah dikatakan menjual tanah kepada PATI untuk mereka mendirikan penempatan.
Pemilik tanah ini tidak peduli memberi tempat kepada PATI asalkan mendapat wang sewa setiap bulan, atau bayaran selonggok yang dibayar awal untuk satu tempuh tertentu. Jangan hairan jika ada di antara PATI ini banyak wang, terutama jika ada bantuan daripada rakan-rakan yang sudah lebih lama berada di negara ini.

Dibimbangi lama kelamaan penempatan ini semakin membesar. Maka jadilah koloni PATI di kawasan berkenaan.
Jika sudah terlalu ramai akan timbul masalah untuk bertindak. Sudah tentu akan ada bantahan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Orang ramai mesti sedar dalam apa jua keadaan, PATI datang ke negara ini melalui saluran tidak sah. Oleh itu sebarang percubaan untuk melindungi mereka adalah salah. Ini termasuk memberi tempat berteduh dengan membawa mereka tinggal bersama. -nasionalkini.my