in

300 unit rumah PPR ditawarkan setahun

IMG 20230606 WA0005
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 3,000 permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menepati syarat dalam setahun - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima sebanyak 3,000 permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menepati syarat dalam setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, DBKL hanya dapat menawarkan 300 unit rumah kepada mereka yang layak selepas mempertimbangkan beberapa syarat tertentu.

“Syarat-syarat itu ditetapkan oleh Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) demi menjaga kepentingan golongan B40 dalam kalangan warganegara Malaysia.” katanya ketika Waktu Soalan Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar bagaimanapun berkata, bagi menampung kekurangan PPR dan memenuhi keperluan perumahan warga kota, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL di bawah Kerajaan Perpaduan akan membina 3,133 unit Council Home (CH) untuk disewa.

“JWP meneruskan Program Rumah Mampu Milik (RMM) yang mensasarkan pembinaan sebanyak 80,000 unit Rumah Mampu Milik dengan harga jualan tidak melebihi RM300,000 dikenali sebagai Residensi Wilayah di Wilayah Persekutuan menjelang 2028.” katanya.

Sehingga 5 Jun lepas, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 19,183 unit Residensi Wilayah melibatkan 34 projek telah siap.

Manakala 27,789 unit melibatkan 31 projek sedang dalam pembinaan dan 11,135 unit melibatkan 21 projek yang telah mendapat Perintah Pembangunan (DO).

Projek-projek dalam pembinaan dijangka siap pada 2023 hingga 2026. – nasionalkini.my

Sanusi disiasat dakwa Pulau Pinang milik Kedah

IMG 20230606 WA0006

45 kamera AwAS beroperasi di seluruh negara