KUALA LUMPUR 16 Mei – Pergerakan Wanita UMNO tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mencemarkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, isu-isu sensitif perlu diperhalusi dan ditangani secara berhemah selain kenyataan yang dikeluarkan perlu dibuat secara berhati-hati demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta kemuliaan Islam.
“Wanita UMNO mendesak Kerajaan Perpaduan tegas dalam menangani isu-isu sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media Ahad lalu melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanjung Minyak, Melaka, hari ini berkata, penganut agama Kristian di negeri lain tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ kerana ia hanya terpakai khusus untuk Sarawak sahaja.
Beliau menegaskan, ini kerana negeri berkenaan tidak terikat dengan keputusan negeri-negeri sebelum ini. – Nasionalkini.my